Kadar yang wajib dikeluarkan
Kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu Sha’ (الصاع) atau satu gantang. Ini sebagaimana dijelaskan di dalam hadis-hadis yang kita kemukakan tadi. Satu Sha’ mengikut nilaian lama menyamai 5 1/3 Ritl (الرطل) ‘Iraqi dan satu Ritl menyamai 128 4/7 Dirham. Jadi, satu Sha’ ialah;
5 1/3 Ritl x 128 4/7 Dirham = 685 5/7 Dirham
Mengikut ukuran liter, menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, satu Sha’ menyamai 3 liter dan mengikut timbangan gram ialah lebih kurang 2400 gram (atau 2.4KG).
(Rujuk: al-Kifayah lizawil-‘Inayah fi al-Fiqh asy-Syafi’ie, Syeikh ‘Abdul Basith ‘Ali al-Fakhuri, hlm. 110 dan al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 231)
Menurut ulama’, seelok-eloknya tatkala mengeluarkan zakat fitrah itu hendaklah dilebihkan sedikit dari kadar segantang yang diwajibkan itu kerana ada kemungkinan makanan yang kita keluarkan itu terdapat tanah, jerami atau seumpamanya di dalamnya yang boleh mengurangkannya dari kadar yang sepatutnya dikeluarkan. (Lihat; al-Iqna’ fi halli alfazi Abi Syuja’, jil. 1, hlm. 328)
Haruskah mengeluarkan zakat fitrah dengan wang?
Di dalam mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad, zakat fitrah mesti dikeluarkan dalam bentuk makanan. Tidak harus dikeluarkan dalam bentuk wang sekalipun yang seharga dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat mengikut nilaian semasa.
Pendapat jumhur tersebut tidak dipersetujui oleh mazhab Hanafi. Menurut ulama’-ulama’ mazhab Hanafi, zakat fitrah adalah hak fakir-miskin. Untuk memenuhi hajat mereka boleh dengan makanan dan boleh juga dengan wang. Tidak ada beza antara kedua-duanya. Barangkali mengeluarkan dengan wang adalah lebih baik kerana dengan wang memudahkan orang fakir membeli apa sahaja barang keperluan yang mereka kehendaki (makanan, pakaian, daging, lauk-pauk dan sebagainya).
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya menyetujui pandangan dari mazhab Hanafi kerana di samping ia menepati nas-nas, ia juga bersesuaian dengan keadaan semasa dan lebih mendatangkan kemudahan kepada umat Islam pada masa ini. Namun, keharusan mengeluarkan zakat fitrah dengan wang ini terikat dengan syarat tidak mendatangkan mudarat kepada orang-orang fakir dan kepada pemilik harta itu sendiri.
Malah pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (sebuah kitab Fiqh mazhab Syafi’ie kontemporari) sendiri menyebutkan dalam kitabnya itu; “Tidak mengapa pada zaman ini untuk kita mengikuti pandangan mazhab Hanafi dalam masalah ini iaitu keharusan membayar zakat fitrah dengan nilai wang kerana ia lebih mendatangkan manfaat kepada orang fakir dan lebih dekat kepada tujuan yang ingin dicapai…”. (Jil. 1, hlm. 231)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar