Senin, 23 Juli 2012

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (11)

 Orang yang sengaja meninggalkan puasa atau sengaja membatalkan puasanya

Orang yang sengaja meninggalkan puasa atau sengaja membatalkan puasanya sama ada dengan makan, minum atau bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan tanpa ada sebarang keuzuran yang dibenarkan Syara’, ia telah melakukan dosa besar. Ia wajib mengqadha’kan puasanya itu serta-merta sebaik sahaja tamat bulan Ramadhan dan hari-raya. Tidak cukup sekadar itu, ia juga wajib bertaubat memohon keampunan Allah atas dosa besar yang ia lakukan itu. Menurut ulama’, orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja (walaupun hanya sehari) ia sebenar telah melakukan dua dosa; satu dapat diganti (yakni diqadha’kan) dan satu lagi tidak dapat diganti melainkan dengan keampunan Allah (yakni jika Allah mengampunkannya). Dua dosa tersebut ialah;

1. Dosa kerana meninggal perbuatan puasa; dosa ini dapat diganti dengan ia berpuasa pada hari yang lain selepas Ramadhan.

2. Dosa tidak menghormati bulan Ramadhan; dosa ini tidak dapat diganti kerana Ramadhan hanya datang setahun sekali sahaja. Sekalipun ia boleh mengqadha’kan puasanya pada bulan lain, namun tidak sama dengan puasanya pada bulan Ramadhan kerana kelebihan setiap detik dalam bulan Ramadhan tiada gantinya pada bulan-bulan lain. Kerana itulah, kita perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. terhadap orang yang meninggalkan puasa Ramadhan; “Sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja di bulan Ramadhan tanpa kelonggaran (yang diberikan Allah) dan tanpa kerana sakit, puasa sepanjang masa pun tidak akan mampu menggantikan (puasa yang ditinggalkan itu) walaupun ia melakukannya”.
(Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar