Senin, 23 Juli 2012

Mukadimah

Apa makna aurat?

Aurat bermaksud bahagian badan yang haram didedahkan oleh kaum wanita atau lelaki, atau dalam pengertian yang lain yang wajib ditutup oleh mereka.

Apa hukum yang berkait dengan aurat secara amnya?

Secara amnya, hukum yang berkait dengan aurat ialah;[1]
1. Haram mendedahkannya, yakni wajib menutupnya
2. Haram melihat kepadanya
3. Wajib menutupnya ketika solat
4. Hukum sentuhan; haram menyentuh aurat orang lain. Begitu juga, haram lelaki menyentuh wanita yang bukan mahramnya dan haram wanita menyentuh lelaki yang bukan mahramnya termasuk bersalaman.

Apa hukum menutup aurat? Apa dalilnya?

Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ bahawa setiap orang Islam –sama ada lelaki atau wanita- wajib menutup aurat dari pandangan orang lain melainkan orang-orang yang dikecualikan oleh Syara’. Dalil kewajipan menutup aurat terdapat di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah.

Apakah dalil-dalil kewajipan menutup aurat dari al-Quran?

Pertama; Firman Allah dalam surah an-Nur;

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan” (30). “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, saudara-saudara mereka, anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kepada Allah, wahai orang-orang beriman, supaya kamu berjaya”. (31)

Di dalam ayat di atas ada dua perintah Allah untuk kaum lelaki dan ada empat perintah untuk kaum wanita. Dua perintah untuk kaum lelaki ialah;

1. Perintah supaya menyekat pandangan. Ia merangkumi dua jenis;[2]

a) Menyekat pandangan dari melihat aurat orang lain sekalipun sama sejenis. Melihat kepada aurat adalah haram sekalipun tanpa syahwat.

b) Menyekat pandangan dari penglihatan yang mendatangkan syahwat. Para ulamak sepakat menyatakan bahawa; haram melihat dengan syahwat hatta kepada mahram sendiri walaupun yang dilihat itu bukan aurat (kecuali melihat kepada suami atau isteri).

2. Hendaklah mereka memelihara kemaluan kecuali terhadap isteri dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki. Menjaga di sini ialah menjaga dari zina. Ada juga ulama’ yang berpandangan; menjaga dari mendedahkannya kepada orang lain (yakni arahan Allah di sini ialah arahan supaya menutup aurat/kemaluan dari pandangan orang lain). Kata Abu ‘Aliyah; ‘Setiap arahan yang terdapat di dalam al-Quran supaya menjaga kemaluan, maka maknanya ialah menjaga dari berzina kecuali dalam ayat ini di mana yang dikehendaki dari arahan tersebut ialah menutup kemaluan sehingga tidak dilihat oleh mata orang lain”.

Empat perintah untuk kaum wanita pula ialah;

1. Perintah supaya menjaga pandangan

2. Perintah supaya menjaga kemaluan dari zina dan dari mendedahkannya kepada orang lain.

3. Perintah supaya menutup aurat. Perintah ini merangkumi dua arahan;

(a) Arahan jangan mendedahkan perhiasan di badan kecuali yang zahir daripadanya, yakni perhiasan-perhiasan yang berada di bahagian badan yang harus dizahirkan (yakni tidak wajib ditutup) iaitulah muka dan tangan (mengikut pandangan jumhur ulama’). Juga dikecualikan apabila ia berhadapan dengan beberapa lelaki yang disebut di dalam ayat iaitu suami, bapa kandung, bapa mertua dan sebagainya.

(b) Arahan supaya bertudung hingga menutupi leher dan dada.

4. Arahan jangan melakukan perbuatan untuk menarik perhatian lelaki iaitu menghentakkan kaki untuk memperdengarkan bunyi gelang kaki supaya lelaki yang mendengarnya mengalih perhatian kepadanya. Termasuk dalam kategori larangan yang serupa ialah larangan memakai wangi-wangian semasa keluar dari rumah.[3]

Kedua; Firman Allah dalam surah al-Ahzab;

“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal[4], karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”. (al-Ahzab: 59)

Di dalam ayat di atas, Allah memerintahkan wanita Islam supaya memakai Jilbab. Menurut Imam Abu Bakar ibnu al-‘Arabi; para ulama’ berikhtilaf dalam mentafsirkan jilbab. Namun lafaz-lafaz yang mereka gunakan hampir memberi pengertian yang serupa di mana asasnya ialah pakaian yang menutup/melitupi badan. Dengan pengertian ini, maka ayat di atas merupakan arahan kepada sekelian wanita Islam supaya menutup badan mereka…”.[5]

Apakah dalil-dalil kewajipan menutup aurat dari as-Sunnah?

Pertama; Dari Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda;

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
“Janganlah seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain dan janganlah seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Janganlah seorang lelaki berada bersama lelaki lain dalam satu pakaian/kain dan janganlah seorang perempuan berada bersama perempuan lain dalam satu pakaian/kain”. (Riwayat Imam Muslim)

Kedua; Bahzun bin Hakim meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya (iaitu Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairy –seorang sahabat yang masyhur-) menceritakan; Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; aurat kami; bila kami boleh dedahkan dan bila kami wajib menutupnya? Jawab Nabi s.a.w.;

احفظ عورتك الا من زوجتك أو ما ملكت يمينك
“Jagalah aurat kamu kecuali dari isteri kamu dan dari hamba yang kamu miliki”.
Aku bertanya lagi; bagaimana jika salah seorang kami berada bersendirian?
Jawab baginda;

فاللّه أحق أن يستحي منه
“Allah adalah paling layak kamu berasa malu dari orang lain”.
(HR Imam Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan)

Nota hujung;

[1] Al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus Salam Tawilah, hlm. 14.
[2] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 43.
[3] Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 147.
[4] Yakni mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita merdeka, bukan hamba. Atau mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita Islam, bukan wanita kafir. (Lihat as-Asas fi at-Tafasir).
[5] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq. (Rujukan; Mausu’ah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis al’A’la Li asy-Syuun al-Islamiyyah, Mesir).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar