Senin, 23 Juli 2012

Cara-cara perwarisan

 Bagaimanakah cara perwarisan yang ditetapkan Syarak?

Cara perwarisan yang ditetapkan Syarak ada dua, iaitu;

Cara pertama; Mewarisi dengan kadar atau bahagian yang ditetapkan oleh Syara’. Perwarisan cara ini dipanggil bil-Fardhi (إرث بالفرض) dan orang yang mewarisi dengan cara ini diistilahkan ashabil-furudh.

Cara kedua; Mewarisi tanpa bahagian tetap tetapi dengan mengambil baki setelah ditolak bahagian pewaris-pewaris dengan kadar tetap tadi (ashabul-furudh). Perwarisan cara ini dipanggil bit-Ta’shib (إرث بالتعصيب) dan orang yang mewarisi melalui cara ini diistilahkan sebagai al-‘ashib. Jika tiada baki maka ia tidak memperolehi apa-apa dari harta pusaka. Dan jika ia berseorangan –yakni tiada ahli waris yang lain-, ia akan membolot semua harta pusaka.

Berapakah kategori ahli waris melihat kepada cara perwarisan tersebut?

Ada empat kategori iaitu;

Kategori pertama; iaitu ahli-ahli waris yang mewarisi dengan bahagian tetap sahaja. Mereka ada tujuh orang iaitu;

1.Ibu
2.Saudara lelaki seibu
3.Saudara perempuan seibu
4.Nenek dari pihak ibu (الجدة من جهة الأم)
5.Nenek dari pihak bapa (الجدة من جهة الأب)
6.Suami
7.Isteri

Kategori kedua: iaitu ahli-ahli waris yang mewarisi dengan menunggu baki sahaja. Mereka ada 12 orang, iaitu;

1.Anak lelaki
2.Cucu lelaki dari sebelah anak lelaki (ابن الإبن)
3.Saudara lelaki seibu-sebapa
4.Saudara lelaki sebapa
5.Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa (ابن الأخ الشقيق)
6.Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa (ابن الأخ لأب)
7.Bapa saudara seibu-sebapa (dengan bapa) (العم الشقيق)
8.Bapa saudara sebapa (dengan bapa) (العم لأب)
9.Anak lelaki kepada bapa saudara seibu-sebapa (dengan bapa) (ابن العم الشقيق)
10.Anak lelaki kepada bapa saudara sebapa (dengan bapa) (ابن العم لأب).
11.al-Mu’tiq
12.al-Mu’tiqah

Semua mereka di atas mewarisi secara at-ta’shib sahaja dan tidak akan mewarisi secara al-fardhi selama-lamanya. Oleh demikian, setiap mereka harus untuk memboloti semua harta peninggalan -jika tiada ahli waris lain- atau mewarisi baki harta pusaka selepas ditolak bahagian-bahagian ashabil-furudh.

Kategori ketiga: iaitu ahli-ahli waris yang mewarisi adakalanya dengan bahagian tetap dan adakalanya menunggu baki dan adakalanya menghimpunkan kedua-duanya.

Ada dua orang sahaja, iaitu;
1.Bapa
2.Datuk

Bapa atau datuk mewarisi secara dengan kadar tetap (iaitu sepernam) jika si mati mempunyai anak lelaki atau cucu lelaki. Ia mewarisi dengan menunggu baki jika si mati tiada meninggalkan sebarang anak atau cucu (sama ada lelaki atau perempuan) dan mewarisi dengan cara kedua-duanya sekali jika si mati hanya mempunyai anak atau cucu perempuan sahaja (yakni tidak mempunyai anak atau cucu lelaki).

Kategori keempat: iaitu ahli-ahli waris yang mewarisi adakalanya dengan bahagian tetap dan adakalanya menunggu baki, akan tetapi tidak akan menghimpunkan kedua-duanya sama sekali.

Ada empat orang iaitu;
1.Anak perempuan
2.Cucu perempuan dari garis anak lelaki (بنت الإبن)
3.Saudara perempuan seibu-sebapa
4.Saudara perempuan sebapa

Penyusunan dalam perwarisan

Dalam melakukan pembahagian harta pusaka, hendaklah didahulukan pembahagian kepada orang-orang yang memiliki kadar atau bahagian tetap terlebih dahulu (yakni ashabil-furudh), kemudian barulah diberikan kepada orang-orang yang menunggu baki (yakni al-‘ashib atau al-‘ashabat). Ini kerana beramal dengan arahan Rasulullah s.a.w.;

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
“Berikan (terlebih dahulu) bahagian-bahagian (yang ditetapkan) kepada pemilik-pemiliknya, kemudian bakinya diberikan kepada pihak lelaki yang paling utama”. (Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi dari Ibnu Abbas r.a.)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar