Apa hukum berhias atau memakai perhiasan?
Islam tidak melarang umatnya untuk berhias atau memakai perhiasan asalkan tidak melanggari batasan yang ditetapkan dan kena pada tempatnya. Menurut ulamak, hukum asal perhiasan adalah halal dan harus sama ada pada badan, pakaian atau empat tinggal. Keharusan Ini berdasarkan penjelasan Allah dalam ayat berikut;
يَابَنِي ءَادَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ، قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
”Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui”. (Al-A’raf;31-32)
Namun demikian keharusan tersebut dikecualikan darinya beberapa jenis perhiasan tertentu yang dilarang oleh Syarak kerana hikmah-hikmah tertentu. Di bawah ini dijelaskan jenis-jenis perhiasan yang diharamkan.
Apakah jenis-jenis perhiasan yang dilarang di dalam Islam?
1. Emas dan sutera bagi kaum lelaki; Diharamkan ke atas orang lelaki memakai perhiasan emas dan sutera kerana ia dikhususkan bagi kaum perempuan sahaja.
2. Perkakas dari emas dan perak; Diharamkan menggunakan emas dan perak selain untuk perhiasan diri dan juga sebagai mata wang. Oleh itu, tidak harus menjadikan emas dan perak sebagai perkakas makan dan minum (yakni pinggan, cawan, mangkuk dan sebagainya), alat-alat tulis (pen dan sebagainya), bekas celak, hiasan rumah, majlis-majlis, masjid atau surau, kedai dan sebagainya. Sebagaimana diharamkan mengguna, begitu juga haram menyimpannya.
3. Merubah kejadian Allah; Syari’at Islam mengharamkan seseorang sama ada lelaki atau wanita berhias dan bersolek hingga ke tahap mengubah kejadian Allah pada diri tanpa ada keperluan yang mendesak.
4. Menyerupai lelaki atau perempuan; Dilarang sama sekali lelaki meniru-niru gaya kaum wanita dan wanita meniru-niru gaya kaum lelaki sama ada pada pada pakaian, perhiasan, gaya berjalan, bercakap dan sebagainya.
5. Dilarang bertabarruj; iaitu wanita berhias untuk lelaki-lelaki ajnabi iaitu lelaki-lelaki yang haram ia mendedahkan auratnya kepada mereka.
6. Tiada israf dan ikhtiyal; iaitu berlebih-lebihan dan berbangga-bangga dengan pakaian dan perhiasan
Apa dalil pengharaman emas dan sutera ke atas kaum lelaki?
Iaitu sabda Rasulullah s.a.w.;
حرَّمَ لباسُ الحريرِ والذَّهبُ على ذُكورِ أمَّتي وأحلَّ لأناثهِم
“Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita-wanita mereka”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asy’ari r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)
Dalam hadis yang lain baginda bersabda;
من لبس الحرير في الدنيا لم يلبسه في الآخرة
“Sesiapa memakai sutera di dunia, ia tidak akan dapat memakainya lagi di akhirat”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abi Umamah r.a.)
Selain memakai sutera, juga diharamkan duduk di atas hamparan dari sutera.
Apa dalil pengharaman menggunakan perkakas-perkakas dari emas dan perak?
Iaitulah sabda Nabi s.a.w.;
لاَ تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ، وَلاَ تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا
“Janganlah kamu minum di dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan di dalam talam[1] dari keduanya kerana ia adalah untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia”. (Riwayat Imam Muslim dari Huzaifah r.a.)
Apa dalil pengharaman berhias dengan merubah kejadian Allah?
Pengharaman ini dapat difahami dari larangan Nabi s.a.w. terhadap perbuatan menyambung rambut, bertatu, mencabut bulu kening dan menjarangkan gigi. Sabda baginda;
لعنَ اللهُ الواصلةَ والمُستوصلةَ والواشمةَ والمُستوشمةَ
“Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya, orang yang minta disambung rambutnya, orang yang melakukan tatu dan orang yang minta dilakukan tatu kepadanya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Abdullah bin Umar r.a.)
Sabda baginda juga;
لَعَنَ اللهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ، وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ
“Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)
Apa dalil pengharaman menyerupai lelaki atau perempuan?
Larangan ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;
لعن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال
“Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki”. (Riwayat Imam Bukhari)
Perbuatan tersebut tergolong dalam dosa-dosa besar menurut ulamak kerana terdapat laknat Rasulullah ke atasnya. Contoh perbuatan meniru wanita ialah seperti lelaki yang memakai rantai, anting-anting dan gelang, berinai, memakai emas dan sutera, memakai pakaian menyerupai wanita, melembutkan suara dan cara berjalan dan sebagainya lagi dari perlakuan atau gaya yang selalunya ada pada wanita sahaja. Contoh meniru lelaki pula ialah seperti memakai pakaian lelaki, berjalan dan bercakap dengan gaya lelaki dengan perbuatan yang dibuat-buat, mencukur rambut, memakai lilitan kepala yang menyerupai serban dan sebagainya yang biasanya dilakukan oleh kaum lelaki sahaja.[2]
Adakah larangan penyerupaan itu merangkumi juga kanak-kanak?
Ya. Dilarang ibu-bapa atau penjaga memakaikan kepada anak lelaki pakaian atau perhiasan untuk anak perempuan dan begitu juga diharamkan memakaikan kepada anak perempuan pakaian untuk lelaki. Diceritakan bahawa suatu hari Saidina Umar r.a. melihat anak lelaki Zubair dipakaikan kepadanya pakaian dari sutera. Lalu Umar mengoyaknya dan berkata; “Janganlah kamu memakaikan kepadanya pakaian dari sutera”. Begitu juga, Ibnu Mas’ud pernah mengoyak pakaian sutera yang dipakaikan kepada anak lelakinya.[3]
Apa dalil larangan bertabarruj?
Larangan tabarruj terkandung di dalam ayat 32 dari surah an-Nur tadi dan juga larangan Allah dari bertabarruj yang terdapat dalam firmanNya;
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
“dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu ….”. (al-Ahzab: 33)
Apa maksud tabarruj? Dan apa yang termasuk dalam kategori tabarruj?
Tabarruj dari segi bahasa bermaksud membuka dan menampakkan sesuatu untuk dilihat mata. Imam Zamakhsyari berkata; hakikat tabarruj ialah sengaja membuka/mendedahkan apa yang sepatutnya disembunyikan. Namun tabarruj dalam ayat di atas adalah khusus untuk perempuan terhadap para lelaki iaitu ia menampakkan perhiasannya dan kecantikannya kepada mereka.[4] Menurut Imam an-Nasafi, tabarruj ialah berjalan melenggang-lengguk dan mendedahkan perhiasan.[5]
Secara amnya, perkara yang tergolong di dalam pengertian tabarruj ialah;[6]
1. Mendedahkan aurat yang sepatutnya ditutup
2. Mendedahkan perhiasan pada badan yang tidak sepatutnya diperlihatkan melainkan kepada suami atau mahram sahaja
3. Bertingkah-laku dan bercakap dengan gaya yang boleh menggairahkan lelaki.
4. Bergaul bebas dengan para lelaki
5. Tidak memakai tudung kepala dengan sempurna hingga menampakkan rambut dan perhiasan-perhiasan di leher, telinga dan sebagainya.
6. Bersolek dengan solekan yang boleh menimbulkan perasaan ghairah kepada kaum lelaki. Ini termasuklah memakai gincu bibir, memakai pipi merah, berwangi-wangian di luar rumah dan sebagainya.
Apa maksud tidak berlebih-lebihan dan berbangga-bangga dengan pakaian dan perhiasan? Apa dalil pengharamannya?
Syarat umum dalam menikmati segala yang baik/halal yang dikurniakan Allah ada dua;[7]
Tidak ada israf (berlebih-lebihan hingga membazir)
Tidak ada ikhtiyal (bermegah-megah atau berbangga-bangga)
Israf mermaksud melampaui batas dalam menikmati/menggunakan suatu yang halal atau harus. Dalam memperkatakan tentang keharusan memakai perhiasan dalam ayat 31-32 dari surah al-A’raf tadi, Allah memperingatkan manusia agar jangan israf (berlebihan);
وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“…dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan….”.
Adapun ikhtiyal (bermegah-megah), maka ia berkait dengan niat dan hati iaitu memakai sesuatu untuk tujuan berbangga-bangga dan membesarkan di hadapan orang lain. Firman Allah;
وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”. (al-Hadid: 23)
Sabda Rasulullah s.a.w.;
من جر ثوبه خيلاء لم ينظر الله إليه يوم القيامة
“Sesiapa yang melabuhkan pakaian/kainnya kerana sombong, nescaya Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Untuk memastikan seorang muslim menjauhi setiap perkara yang dikhuatiri menimbul ikhtiyal, maka Rasulullah menegah pakaian asy-syuhrah (yakni pakaian kemasyhuran) yang sememangnya –jika dipakai- akan menimbulkan perasaan angkuh, bangga diri di hadapan orang lain dengan bentuk-bentuk lahiriyah yang kosong. (Sila baca penjelasan tentang pakaian Syuhrah di bawah tajuk “Pakaian” dalam blog ini).
Adakah lelaki juga diharuskan berhias?
Ya, harus tetapi dengan tidak melanggari batasan yang ditetapkan Syarak di atas, iaitu;
1. Tidak menyerupai perempuan; cth; berinai
2. Bukan dengan material yang dilarang Syarak iaitu emas dan sutera.
3. Tidak mengubah ciptaan Allah
4. Bukan dengan tujuan berbanga-bangga atau besar diri.
Contoh perhiasan yang diharuskan lelaki ialah memakai cincin perak yang bertatah batu-batu berharga (zamrud, delima, nilam dan sebagainya), memakai baju atau pakaian yang cantik-cantik, kasut dan sebagainya.
Sejauhmana harus wanita memperlihatkan perhiasan pada badannya?
Perhiasan pada badan ada dua jenis;
1. Perhiasan yang berada pada bahagian yang bukan aurat (iaitu muka dan tangan); seperti celak, cincin, gelang tangan dan sebagainya. Ia harus diperlihatkan. (*Tentunya tanpa solekan yang menimbulkan ghairah lelaki sebagaimana dinyatakan tadi dalam huraian tentang tabarruj).
2. Perhiasan yang berada di bahagian badan yang aurat iaitu di kepala, kaki, leher dan sebagainya seperti rantai, anting-anting, gelang kaki dan sebagainya. Perhiasan ini haram diperlihatkan kecuali kepada suami dan mahram.
Apa hukum berinai?
Digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin berhias untuk suaminya. Antara cara berhias itu ialah dengan mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya.[8] Menurut ulamak; mewarnai tangan dan kaki dengan inai adalah disunatkan bagi wanita-wanita yang telah berkahwin dengan syarat mendapat keizinan suaminya. Jika tanpa keizinan beliau (yakni beliau tidak menyukainya) tidaklah harus. Bagi wanita yang belum berkahwin; hukumnya adalah makruh mengikut kebanyakan ulamak kerana tidak ada keperluan dan juga bimbang timbulnya fitnah.[9] Namun ada juga ulamak yang berpendapat; diharuskan bagi wanita secara umumnya untuk berinai sama ada telah berkahwin atau belum berkahwin kecuali wanita yang kematian suami dan masih dalam eddah.[10] Itu adalah hukum berinai secara umumnya. Adapun berinai dengan cara mengukirnya di tangan atau kaki (yakni bukan dengan mewarnai keseluruhan tangan atau jari-jarinya), maka perbuatan itu menurut ulamak adalah makruh. Berkata Syeikh Yusuf al-Ardibili dalam kitabnya “al-Anwar li A’mal al-Abrar”; “Jika seorang wanita hendak mewarnai dua tangannya, hendaklah ia mewarnai keseluruhan dua tangannya dengan pewarna. Tidak disunatkan baginya membuat lukisan/ukiran, begitu juga mewarnakan dengan hitam, mewarnakan sebahagian jari sahaja dan memerahkan pipi. Malah diharamkan setiap satu dari perbuatan-perbuatan tersebut ke atas wanita bujang (yakni tidak bersuami) dan juga wanita bersuami jika tidak diizinkan suaminya” (2/332).[11]
Adakah harus lelaki berinai?
Diharamkan ke atas lelaki mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya kerana perbuatan tersebut meniru/menyerupai wanita yang dilaknat di dalam hadis Nabi s.a.w.; “Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki” (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.).[12]
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَّبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا بَالُ هَذَا فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ فَأَمَرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نَقْتُلُهُ فَقَالَ إِنِّي نُهِيتُ عَنْ قَتْلِ الْمُصَلِّينَ
Dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah dibawa kepadanya seorang pondan/banci yang mewarnai dua tangan dan kakinya dengan inai. Lalu Nabi bertanya; “Kenapa orang ini?”. Dikatakan kepada baginda; “Ya Rasulullah, ia ingin meniru kaum wanita”. Nabi lalu memerintahkan agar ia diusir ke wilayah Naqi’. Para sahabat bertanya; “Wahai Rasulullah, perlukan kami membunuhnya?”. Baginda menjawab; “Aku ditegah membunuh orang yang mengerjakan solat”. (Riwayat Imam Abu Daud).
Namun dikecualikan jika tujuan memakai inai itu adalah untuk pengubatan.
Apa hukum pondan atau banci?
Pondan atau banci dalam bahasa Arab disebut al-Mukhannas yang bermaksud; lelaki yang menyerupai wanita pada perilaku, ucapan dan perlakuan serta tindak-tanduknya. Jika semulajadi (yakni dilahirkan dalam keadaan sedemikian) tidaklah dicela oleh agama, akan tetapi ia hendaklah berusaha untuk membuang/menghilangkan sifat keperempuanan itu. Adapun jika sengaja dilakukan (yakni dibuat-buat), maka ia dicela oleh agama.[13]
Apa hukum lelaki memakai gelang atau rantai?
Tidak harus lelaki memakai gelang atau rantai untuk berhias kerana ia meniru/menyerupai wanita. Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita sebagaimana hadis tadi. Lebih diharamkan lagi jika gelang atau rantai itu dibuat dari emas kerana ia melanggar dua larangan Allah iaitu larangan meniru wanita dan larangan memakai emas.[14]
Nota Hujung;
[1] Talam yang cukup untuk lima orang.
[2] Lihat penjelasan lanjut tentang kaedah Tasyabbuh antara lelaki dan perepuan dalam buku “Tasyabbuh Yang Dilarang di Dalam Fiqh Islam”, Jamil bin Habib al-Luwaihiq, hlm. 136-143.
(Menurut pengarang ‘Aunul-Ma’bud; dilarang wanita menyerupai lelaki dari segi pemakaian, keadaan diri, cara berjalan, meninggi suara dan sebagainya. Adapun penyerupaan dari segi pandangan dan ilmu (yakni mencapai ketinggian lelaki dari segi buah fikiran dan ilmu), itu tidaklah dicela, malah dipuji agama sebagaimana ‘Aisyah r.a. yang dikatakan sebagai “رجلة الرأي” yang bermaksud pandangan/pendapatnya seanding dengan kaum lelaki. (‘Aunul-Ma’bud, bab al-Hukm Fi al-Mukhannatsin).
[3] Tasyabbuh Yang Dilarang di Dalam Fiqh Islam, Jamil bin Habib al-Luwaihiq, hlm. 138-139.
[4] al-Halal wa al-Haram, Dr. al-Qaradhawi, hlm. 238.
[5] Tafsir an-Nasafi, surah al-Ahzab, ayat 33.
[6] Lihat; al-Halal wa al-Haram, hlm. 160, Mu’jam Tafsir Kalimaatil-Quran (Muhammad ‘Adnan Salim dan Muhammad Wahbi Sulaiman).
[7] Al-Halal wa al-Haram, hlm. 86.
[8] Hendaklah dipastikan bahan itu bersih dan tidak menghalang air dari sampai ke kulit semasa mengambil wudhuk.
[9] Hukum makruh ini menjadi pegangan ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’ie.
[10] Antara yang mengharuskannya ialah ulamak-ulamak mazhab Hanbali.
[11] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdussalam Tawilah, hlm. 294-295.
[12] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdussalam Tawilah, hlm. 294-295.
[13] ‘Aunul-Ma’bud, bab al-Hukm Fi al-Mukhannatsin.
[14] Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 736.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar