Selasa, 17 Juli 2012

ZAKAT FITRAH (7)

 Jenis harta untuk zakat fitrah

Zakat fitrah wajib dikeluarkan dari makanan asasi penduduk setempat dalam suatu negeri atau Negara. Jenis-jenis makanan yang disebut di dalam hadis ialah kurma, anggur kering (kismis), gandum, keju dan barli. Antara hadis yang dapat kita ambil sebagai contoh ialah yang diceritakan oleh Abi Sa’id al-Khudri r.a.;

“Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar segantang dari gandum atau segantang dari barli atau segantang dari tamar atau segantang dari ‘aqt (keju) atau segantang dari kismis (anggur kering)”. (Riwayat Imam Muslim)

Menurut para ulama’ –terutamanya dari mazhab Syafi’ie-, penyebutan lima jenis makanan di dalam hadis di atas bukanlah bermakna zakat fitrah hanya harus dikeluarkan daripada lima jenis makanan tersebut sahaja. Ia sekadar melambangkan makanan asasi yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w.. Oleh itu, setiap orang Islam wajib mengeluarkan zakat fitrah dari makanan asasi penduduk setempat di dalam negeri tempat tinggalnya. Sekiranya terdapat lebih dari satu makanan asasi, maka hendaklah dipilih salah satu darinya. Paling utama dipilih yang paling baik.

Bagi penduduk di Negara kita Malaysia, makanan asasinya ialah beras. Oleh itu, zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras atau dengan wang yang seharga dengan beras mengikut nilaian semasa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar