Selasa, 17 Juli 2012

ZAKAT FITRAH (6)

 Syarat-syarat wajib zakat fitrah

1. Islam; tidak wajib zakat fitrah ke atas orang kafir. Adapun orang Islam yang murtad, zakat fitrahnya dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya ditangguh hingga ia kembali kepada Islam.

2. Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.

Oleh yang demikian, anak yang lahir sesudah terbenam matahari pada hari terakhir tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah baginya kerana ia tidak bertemu dengan Ramadhan sekalipun bertemu dengan Syawal. Begitu juga, seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan selepas terbenam matahari hari terakhir tersebut juga tidak wajib membayar zakat fitrah untuk isteri yang baru dikahwininya itu kerana isterinya itu masuk di bawah tanggungannya setelah selesai Ramadhan secara sepenuhnya. Sebaliknya, orang yang mati selepas terbenam matahari pada hari terakhir itu, wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya kerana kematiannya itu berlaku setelah ia sempat bertemu Ramadhan dan awal Syawal. Adapun orang yang mati sebelumnya (yakni sebelum terbenam matahari), tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya kerana kematiannya sebelum ia sempat bertemu Syawal.

Kesimpulannya, kelahiran, perkahwinan atau pemilikan hamba yang berlaku selepas terbenam matahari hari terakhir Ramadhan tidak akan menyebabkan wajibnya zakat fitrah ke atas bapa atau suami atau tuan (yang memiliki hamba). Sebaliknya, kematian, penceraian dan pemansuhan milik (ke atas hamba) yang berlaku selepas waktu tersebut tidak akan menggugurkan kewajipan zakat fitrah dari bapa (yang kematian anak itu) atau suami (yang menceraikan isterinya) atau dari tuan (yang menjual atau membebaskan hambanya)… (Lihat; Fathul-Mu’in)

3. Mampu; iaitu mempunyai lebihan harta pada malam hari-raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang.

Harta yang dihitung di sini ialah yang lain dari harta yang menjadi keperluannya sehari-hari. Adapun harta yang diperlukan sehari-hari seperti rumah (tempat tinggal), perkakas/perabot, pakaian sehari-hari, buku-buku dan sebagainya tidak termasuk dalam perhitungan. Oleh itu, barang-barang tersebut tidak perlu dijual semata-mata untuk membayar zakat fitrah. Sekiranya ia tidak mempunyai lebihan dari harta yang lain, ia dikira tidak mampu dan tidak wajib membayar zakat fitrah.

Jika ia hanya mempunyai lebihan harta sedikit sahaja (katakanlah tidak sampai nilainya 1 gantang), maka wajiblah ia keluarkan sekadar yang ada itu sahaja. Jika lebihan yang ada itu cukup untuk zakat fitrah dirinya sahaja (iaitu sekadar 1 gantang), maka keluarkanlah untuk dirinya sahaja. Jika lebihan yang ada itu hanya mencukupi untuk zakat fitrah sebahagian ahli-ahli tanggungannya sahaja, maka keluarkanlah untuk sebahagian mereka mengikut susunan keutamaan yang dinyatakan tadi.

Masa yang diambil perkiraan ialah malam hari raya dan siangnya. Sekalipun ada kemungkinan seseorang itu selepas hari raya mempunyai harta atau wang, tetapi jika pada malam hari raya dan siangnya ia tidak memiliki lebihan harta, maka ia dikira tidak mampu dan tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah, kerana yang dihitung bukan kemungkinan akan datang tetapi keadaan yang sedia ada. Begitu juga, ia tidak dituntut mengqadha’ zakat fitrahnya selepas hari raya tersebut sekalipun ia telah memiliki kemampuan harta untuk berbuat demikian.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar