Selasa, 17 Juli 2012

ZAKAT FITRAH (5)

 Zakat fitrah ke atas ibu-bapa

Anak tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi ibu-bapanya kecualilah jika ibu-bapanya fakir atau miskin di mana nafkah sara hidup mereka menjadi kewajipannya ketika itu. Adapun ibu-bapa yang kaya atau berkemampuan, maka zakat fitrah mereka tidak wajib ditanggung oleh anak-anak mereka, akan tetapi ditanggung oleh mereka sendiri.

Zakat fitrah ke atas anak-anak/cucu-cicit

Anak-anak terbahagi kepada dua;

1. Anak-anak yang masih kecil
2. Anak-anak yang telah dewasa (baligh)

Anak-anak yang masih kecil sama ada lelaki atau perempuan, jika mereka memiliki harta, maka zakat fitrah hendaklah dikeluarkan dari harta mereka. Menjadi tanggungjawab walinya untuk mengeluarkannnya dari harta tersebut. Namun jika mereka tidak memiliki harta, maka zakat fitrah mereka ditanggung oleh bapa atau penjaga yang menanggung nafkah mereka.

Anak-anak yang telah baligh (dewasa), jika mereka mampu mencari pendapatan sendiri, maka zakat fitrah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri, bukan atas bapa atau penjaga mereka. Malah tidak sah bapa atau penjaga mereka mengeluarkannya bagi pihak mereka kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkannya. Adapun yang tidak mampu mencari pendapatan sendiri –sama ada kerana ditimpa sakit yang berterusan, gila atau kerana menumpukan masa untuk menuntut ilmu- maka bapa atau penjaga yang menyara mereka lah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk mereka. Kesimpulannya, bagi anak-anak yang telah dewasa, syarat untuk mewajibkan bapa atau penjaga menanggung zakat fitrah mereka ialah mereka tidak mampu mencari pendapatan sendiri.

Zakat fitrah atas saudara-mara

Saudara-saudara, anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, anak-anak bapa saudara (yakni sepupu-sepupu) serta sekelian kaum kerabat yang bukan tergolong dalam asal-usul atau cabang seseorang, mereka tidak wajib dinafkahi, maka dengan itu tidak wajib pula membayar zakat fitrah untuk mereka. Malah tidak sah seseorang mengeluarkan zakat fitrah untuk saudara atau ahli kerabat yang tidak berada di bawah tanggungan nafkahnya kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkannya. (Lihata; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 91 dan al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 230).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar