Selasa, 17 Juli 2012

ZAKAT FITRAH (4)

 Zakat fitrah ke atas isteri

Oleh kerana isteri berada di bawah tanggungan nafkah suaminya, maka zakat fitrahnya menjadi kewajipan suaminya. Ini sekiranya isteri itu masih taat kepada suaminya. Jika sekiranya isteri telah nusyuz (yakni menderhakai suaminya), maka ia wajib menanggung sendiri zakat fitrahnya –jika nusyuz itu berlaku tatkala wajibnya zakat fitrah- kerana zakat fitrah mengikuti nafkah dan oleh kerana suami tidak wajib menafkahi isterinya yang nusyuz, maka ia juga tidak wajib menanggung zakat fitrahnya.

Jika suami miskin dan tidak mampu mengeluarkan zakat fitrah, gugur zakat fitrah dari isterinya sebagaimana gugur dari dirinya. Tidak wajib isteri mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya kerana ia tertanggung atas bahu suaminya. Namun jika isteri mempunyai kemampuan, disunatkan ia mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya sebagai meraikan pandangan yang mewajibkannya dan juga sebagai pembersihan untuk dirinya. (Lihat; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 102)

Bagaimana zakat fitrah ke atas isteri yang diceraikan? Jika penceraian itu dengan talak raj’ie (yakni talak yang mengharuskan suami merujuk kembali isterinya tanpa akad baru), dan belum habis iddahnya, maka masih menjadi kewajipan suami membayar zakat fitrah isterinya itu. Ini kerana ia masih wajib menafkahi isterinya selama dalam iddah. Adapun jika penceraian itu adalah dengan talak bain, maka hendaklah dilihat pada dua keadaan;

1. Jika isterinya tidak mengandung, maka zakat fitrah bukan menjadi tanggungannya sebagaimana juga nafkah. Jadi, si isterilah yang wajib menunaikan zakat fitrah untuk dirinya sendiri.

2. Jika isteri mengandung, maka zakat fitrah wajib dibayar oleh suami yang mentalakkannya. Ini kerana nafkah wajib ke atasnya dengan kerana kandungan tersebut.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar