Selasa, 17 Juli 2012

ZAKAT FITRAH (3)

 Ke atas siapa diwajibkan zakat fitrah?

Berdasarkan hadis yang disampaikan oleh Ibnu ‘Umar tadi, dapat kita fahami bahawa zakat fitrah diwajibkan ke atas semua individu sama ada lelaki atau wanita, kecil atau dewasa, merdeka atau hamba, miskin atau kaya, orang Bandar atau pedalaman jika cukup syarat-syarat yang akan disebutkan nanti.

Bagi orang yang belum mempunyai tanggungan, maka zakat fitrahnya disempurnakan oleh dirinya sendiri atau orang yang menanggung nafkahnya. Adapun orang yang telah mempunyai tanggungan, ia bukan hanya wajib menyempurnakan zakat fitrah untuk dirinya sahaja tetapi juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya kecualilah jika mereka bukan Islam (orang kafir). Secara terperinci, orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkah yang mesti dizakati terdiri dari empat golongan;

1. Isteri yang tidak nusyuz; sekalipun isteri itu kaya atau ditalakkan dengan talak raj’ie atau talak bain tetapi mengandung, dengan syarat tidak ditetapkan untuknya nafkah tertentu. Jika telah ditetapkan untuknya nafkah tertentu, tidak wajib lagi zakat fitrah atas suaminya. Seperti isteri ialah hamba dan juga khadam.

2. Asal-asul hingga ke atas (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga berikutnya ke atas)

3. Cabang hingga ke bawah (iaitu anak-pinak dan cucu-cicit); sama ada lelaki atau perempuan, kecil atau besar/dewasa.

(*Asal-usul dan cabang tidak wajib dikeluarkan zakat bagi pihak mereka melainkan jika mereka fakir atau miskin sekalipun kerana menumpukan masa untuk menuntut ilmu)

4. Hamba yang dimiliki sekalipun melarikan diri atau ditawan

(Rujukan bagi maklumat di atas; al-Fiqh ‘ala mazahib al-Arba’ah, jil. 1, hlm. 568)

Antara kaedah yang diputuskan oleh ulama’ dalam masalah ini ialah; ‘Sesiapa yang wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya, maka ia wajib juga membayar fitrah untuk orang-orang yang di bawah tanggungan nafkahnya sama ada kerana pemilikan (iaitu hamba) atau kerana hubungan perkahwinan (iaitu isteri) atau kerana hubungan kekeluargaan (iaitu anak-anak, ibu-bapa, saudara-saudara dan sebagainya) jika sekiranya mereka adalah muslim dan ia mempunyai harta untuk membayarnya bagi mereka”. (Rujuk; al-Iqna’ fi halli alfazi Abi syuja’, jil. 1, hlm. 326)

Jika ia mempunyai tanggungan yang banyak dan harta yang ada tidak mencukupi untuk membayar zakat fitrah bagi semua mereka, maka ia hendaklah membayar untuk sebahagian mereka sahaja mengikut urutan keutamaan di bawah;

1. Dirinya sendiri
2. Isterinya
3. Khadamnya
4. Anaknya yang kecil
5. Bapanya (jika bapanya berada di bawah tanggungan nafkahnya)
6. Ibunya (jika berada di bawah tanggungan nafkahnya)
7. Anaknya yang dewasa (jika tidak mampu mencari pendapatan sendiri)
8. Hambanya

Jika terdapat lebih dari seorang (seperti ia memiliki lebih dari seorang isteri atau lebih dari seorang anak kecil), maka ia boleh memilih dari kalangan mereka siapa yang hendak ia zakati.
(Rujuk; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 547 dan al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, jil. 1, hlm. 569)

Miskin atau kaya tidak menjadi syarat dalam kewajipan mengeluarkan zakat fitrah ini. Begitu juga, tidak disyaratkan nisab. Inilah yang menjadi pegangan jumhur Ulama’. Imam Abu Hanifah menyanggahi pendapat jumhur di mana ia berpandangan; disyaratkan nisab bagi kewajipan zakat fitrah sebagaimana zakat-zakat yang lain. Oleh itu, menurut beliau orang yang tidak memiliki nisab tidak diwajibkan zakat fitrah ke atasnya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar