Selasa, 17 Juli 2012

ZAKAT FITRAH (2)

 Hikmah zakat fitrah

Hikmah zakat fitrah dapat kita fahami dari satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas yang menyebutkan; “Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin”. (Riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim)

Berdasarkan hadis ini, terdapat dua tujuan utama Rasulullah mewajibkan zakat fitrah;

1. Sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa; iaitu untuk menampung kekurangan puasa mereka yang mungkin disebabkan oleh perkara-perkara sia-sia dan perkataan-perkataan keji yang mereka lafazkan semasa sedang berpuasa sama ada disedari atau tidak disedari. Seorang ulama’ bernama Waki’ bin al-Jirah berkata; “Zakat fitrah bagi puasa Ramadhan seumpama sujud sahwi bagi solat di mana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat”. (al-Iqna’, jil. 1, hlm. 324)

2. Sebagai bantuan untuk orang miskin; iaitu untuk membantu mereka sekadar yang terdaya agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan tatkala berhari-raya.

Dalam satu hadis yang lain, Ibnu ‘Umar menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)””. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar