Apa maksud bebas dari hutang?
Maksudnya ialah; harta yang diwajibkan zakat ialah harta yang pemiliknya tidak dibelenggu oleh hutang yang perlu dibayar segera[1] dan jumlah hutangnya itu merangkumi kebanyakan atau keseluruhan hartanya. Maka dalam hal ini, hendaklah ditolak dahulu hutang segera itu, kemudian jika ada baki barulah dikeluarkan zakat. Itu pun jika jumlah baki itu sampai nisab yang ditetapkan.
Adapun jika sekiranya hutang itu tidak perlu segera dibayar –seperti tempoh bayar belum sampai atau bayaran dikenakan secara ansuran- maka zakat hendaklah dikeluarkan kerana zakat apabila cukup tempoh atau haulnya, wajib segera dibayar. Adapun hutang itu belum sampai tempohnya.[2]
Nota;
[1] Yakni hutang yang perlu segera dibayar pada tahun wajib zakat, bukan keseluruhan yang ditanggung kerana yang diambil kira ialah milik dan tanggungan pada tahun itu. (Lihat Mahmud Zuhdi, hlm. 111)
[2] Inilah pandangan jumhur Ulama’ iaitu orang yang dibelenggu oleh hutang, tidak wajib zakat atasnya kerana ia adalah orang yang memerlukan, sedangkan zakat hanya wajib atas orang kaya (yakni memiliki harta melebihi keperluan utamanya). Walau bagaimanapun pandangan jumhur ini berbeza dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie iaitu; Hutang tidak menggugurkan kewajipan zakat. Ada juga di kalangan ulamak yang berpandangan; hutang menggugurkan kewajipan zakat dari harta-harta bathin sahaja iaitu emas, perak dan harta perniagaan, tidak dari harta-harta dzahir iaitu pertanian, buah-buahan, ternakan dan logam/galian. Perbezaan antara harta batin dan harta dzahir ialah; harta-harta dzahir subur dengan sendirinya, adapun harta-harta batin tidak subur dengan sendirinya. Pandangan yang rajih ialah pandangan jumhur ulamak tadi yang menyatakan; hutang menggugurkan zakat tanpa membezakan antara harta dzahir dan harta batin (Lihat; al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 468, Fiqh az-Zakah, 1/177-178).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar