Selasa, 17 Juli 2012

ZAKAT (Muqadimah 7; Keperluan asasi)

Apa maksud lebihan dari keperluan-keperluan asasi?

Maksudnya ialah; harta yang wajib dizakati ialah setelah ditolak kos keperluan hidup yang asas merangkumi diri sendiri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkah (isteri, anak-anak dan keluarga). Orang yang mempunyai lebihan harta setelah ditolak keperluan-keperluan asas dianggap kaya dan ia berkewajipan membantu mereka yang miskin atau memerlukan.

Hanya keperluan-keperluan asasi yang dihitung untuk menentukan seseorang itu wajib mengeluarkan zakat atau tidak. Adapun keperluan-keperluan sampingan, maka ia tidak menggugurkan kewajipan zakat.

Apa maksud keperluan asasi?

Maksud keperluan asasi ialah apa-apa yang diperlukan untuk menjamin kelangsungan hidup sama ada secara realiti seperti makan-minum, pakaian dan tempat tinggal atau secara andaian seperti hutang (kerana yang berhutang perlu membayar hutangnya untuk mengelak dari dikenakan tindakan ke atasnya), alat-alat pekerjaan, kemudahan-kemudahan asas rumah, kenderaan, belanja menuntut ilmu dan sebagainya.

Menurut Mujaini Tarimin dalam bukunya “Zakat Menuju Pengurusan Pfofesional”; “Pada masa ini, item-item keperluan asas yang layak diberi pertimbangan pelepasan zakat ialah;

1. Makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, perubatan dan pendidikan.
2. Membayar hutang segera
3. Modal kekal bagi golongan profesional
4. Buku rujukan pembelajaran
5. Perhiasan diri wanita dan kelengkapan tempat tinggal
6. Barang-barang stok keperluan asas selain dari mata wang.
(Halaman 70).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar