Selasa, 17 Juli 2012

ZAKAT (Muqadimah 2; orang yang wajib keluar zakat)

 Siapakah yang wajib mengeluarkan zakat?

Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa zakat diwajibkan ke atas harta milik orang Islam yang baligh, berakal, merdeka (bukan hamba) dan memiliki harta dengan kadar tertentu (nisab) dengan pemilikan yang sempurna mengikut syarat-syaratnya.

Zakat tidak diwajibkan ke atas harta orang kafir kerana ia adalah kewajipan orang Islam, maka tidak dituntut ke atas orang kafir sehinggalah ia menganut Islam. Selain itu, zakat adalah ibadah dan ibadah tidak sah dikerjakan oleh orang yang tidak beriman. Namun dikecualikan dari orang kafir ini orang yang murtad dari agama. Menurut sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie, orang murtad tetap wajib mengeluarkan zakat kerana harta zakat adalah hak orang-orang fakir dan memerlukan, maka ia tidak gugur dengan berlakunya riddah sama juga seperti kewajipan memberi nafkah dan membayar denda.

Adakah wajib zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila?
Para ulamak telah sepakat tentang wajibnya zakat ke atas harta seorang muslim yang baligh dan berakal sebagaimana dijelas tadi, namum mereka berbeza pandangan tentang harta milik kanak-kanak yang belum baligh dan juga milik orang gila; apakah wajib dikeluarkan zakat atau tidak?

Pertama; Jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Imam Syafi’ie, Ahmad, ‘Ata’, Mujahid, az-Zuhri dan sebagainya) berpendapat; wajib dikeluarkan zakat dari harta mereka.

Kedua; Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya berpendapat; zakat yang wajib dikeluarkan dari harta kanak-kanak dan orang gila itu hanyalah bagi harta pertanian dan buah-buahan sahaja, tidak bagi harta-harta dari jenis yang lain.

Ketiga; Imam Abu Jaafar, as-Sya’bi dan an-Nakha’ie perpandangan; keseluruhan harta kanak-kanak dan orang gila tidak wajib dikeluarkan zakat.

Pendapat yang kuat menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi ialah pandangan jumhur. Oleh demikian, harta milik kanak-kanak dan orang gila di kalangan orang Islam wajib dikeluarkan zakat sama ada harta itu berupa haiwan ternakan, tanaman dan buah-buahan, perniagaan, wang simpanan dan sebagainya. Yang bertanggungjawab mengeluarkan zakat bagi pihak kanak-kanak dan orang gila itu ialah wali atau penjaga mereka (Fiqh az-Zakah, 1/ 138).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar