Apakah jenis-jenis harta yang dikenakan zakat?
Para ulamak berbeza pandangan dalam menentukan jenis-jenis harta yang wajib dizakati apabila mencukupi syarat-syaratnya tadi. Ada di kalangan ulamak yang menyempitkannya kepada harta-harta tertentu sahaja dan ada yang memperluaskannya hingga merangkumi semua jenis harta. Ulamak-ulamak semasa hari ini –termasuklah Dr. Yusuf al-Qaradhawi- mentarjihkan pandangan kedua kerana ia menepati dalil al-Quran dan as-Sunnah yang mengumumkan kewajipan zakat ke atas semua jenis harta, tanpa membataskannya.
Menurut ulamak-ulamak semasa hari ini; illah (sebab) kewajipan zakat pada sesuatu jenis harta ialah al-Nama’ iaitu berkembang. Asalkan suatu jenis harta itu disediakan untuk dikembangkan dan untuk menghasilkan perolehan atau pendapatan, maka harta tersebut tertakluk dengan kewajipan zakat. Dari sini jelas bahawa zakat diwajibkan ke atas semua jenis harta. Tidak ada jenis harta yang dikecualikan zakat jika telah terdapat syarat-syarat wajib zakat pada harta tersebut.
Pada zaman nabi s.a.w., baginda telah menetapkan kewajipan membayar zakat ke atas haiwan ternakan (iaitu unta, lembu/kerbau dan kambing), gandum, kurma, emas, perak, barang perniagaan dan sebagainya dari jenis-jenis harta yang ada pada zamannya. Pada hari ini, para ulamak memasukkan jenis-jenis harta baru dalam senarai harta zakat seperti wang kertas, hasil industri, perolehan dari sewa, gaji atau upah, saham, bon dan sebagainya sesuai dengan perkembangan yang berlaku dalam aktiviti perekonomian manusia hari ini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar