Kamis, 19 Juli 2012

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (4)

Orang yang meninggalkan puasa kerana sakit

Seorang yang sakit, harus meninggalkan puasa sebagaimana firman Allah (bermaksud); “…maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain….”.(al-Baqarah: 184)

Namun tidak semua sakit diberi rukhsah tersebut. Sakit yang mengharuskan berbuka puasa ialah sakit yang menimbulkan kepayahan/kesusahan yang jelas (masyaqqah dzahirah) pada badan jika berpuasa atau boleh menyebabkan lambat sembuh atau menambahkan kesakitan. Jika sekiranya boleh membawa maut jika berpuasa, maka ketika itu berbuka bukanlah harus, malah diwajibkan. Sebaik-baiknya pesakit merujuk kepada doktor muslim yang dapat dipercayai. Jika seorang doctor muslim yang mahir memberitahu pesakitnya bahawa puasa akan melemahkannya atau menambah sakitnya atau melambatkan penyembuhan, maka harus –malah ada kalanya dituntut- ia berbuka puasa atau tidak berpuasa. (al-Fiqh al-Wadhih, jil 1, hlm. 562)

Andainya sakit itu jenis yang berterusan sepanjang masa (selagi belum sembuh), maka si sakit harus meninggalkan niat puasa pada malamnya. Namun jika sakit itu pada masa-masanya sahaja (yakni ada ketika ia muncul dan ada ketika ia reda) di mana pada masa ia timbul si sakit sukar untuk berpuasa dan pada ketika ia reda si sakit mampu untuk berpuasa, maka hendaklah dilihat pada dua keadaan;

1. Jika sakit itu muncul ketika hendak memulakan puasa, maka harus ia meninggalkan niat puasa.
2. Jika tidak maka ia hendaklah berniat pada malamnya dan berpuasa pada siangnya, kemudian jika datang sakit dan ia merasakan perlu berbuka, maka harus baginya berbuka.

Begitu juga, seorang yang pada awal paginya sihat dan berpuasa, tiba-tiba jatuh sakit, maka harus baginya berbuka puasa tanpa khilaf di kalangan ulama’.

Mengenai tanggungan menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, maka hendaklah dilihat kepada dua keadaan sakit atau pesakit;

1. Sakit atau pesakit yang ada harapan sembuh

Maka diwajibkan ia mengqadha’kan (yakni mengganti) puasanya pada hari lain di luar Ramadhan apabila ia sembuh nanti.

2. Sakit yang tiada harapan sembuh

Bagi orang sakit yang tiada harapan sembuh (iaitu sakit yang berlarutan sepanjang tahun), maka Syara’ memberi pelepasan dari mengqadha’kan puasanya yang tertinggal kerana sakit itu (yakni ia bukan sahaja harus meninggalkan puasa Ramadhan, malah tidak wajib menggantinya), akan tetapi ia diwajibkan membayar fidyah sebagai ganti puasanya itu dengan mensedekahkan beras dengan kadar secupak bagi setiap hari ia tidak berpuasa. Firman Allah (bermaksud); “…Dan wajib ke atas orang-orang yang payah/sukar mengerjakan puasa (kerana tua, sakit yang tiada kemungkinan sembuh dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin (bagi tiap-tiap hari yang ditinggalkan puasanya)…”. (al-Baqarah: 184)

Bagaimana sekiranya ia kembali sembuh dan mampu berpuasa? (yakni hal yang tidak disangka telah berlaku pada si sakit yang dikatakan tiada harapan sembuh tadi?), adakah wajib ia mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan? Jawapannya ialah; Menurut Syeikh Ibnu Hajar, ia tidak wajib mengqadha’ puasanya dengan alasan bahawa baginya Fidyah diwajibkan dari asal, kerana itu cukuplah dengan membayar Fidyah. Namun sebahagian ulama yang lain –antaranya Imam al-Baghawi- berpendapat; Ia wajib mengqadha’ puasa-puasa yang ia tinggalkan masa sakitnya kerana perintah fidyah adalah atas jangkaan bahawa ia tidak akan sembuh, namun apabila ia sembuh maka ternyata bahawa jangkaannya itu adalah silap. Kaedah Fiqh menyebutkan; “Tidak diambil perkiraan dengan sangkaan yang ternyata silapnya”.
(Lihat; al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 6, hlm. 258, Sabilal-Muhtadien, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, hlm. 768)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar