Orang yang meninggalkan puasa dilihat dari sudut taggungan yang mesti dipikulnya terdapat dalam beberapa keadaan iaitu;
1. Diwajibkan ke atasnya qadha’ sahaja.
2. Diwajibkan ke atasnya fidyah sahaja
3. Diwajibkan ke atasnya qadha’ dan fidyah sekaligus
4. Diwajibkan ke atasnya qadha’ dan kafarah
Keadaan-keadaan di atas dapat dilihat jika diperhatikan dalam huraian-huraian berikutnya.
Perempuan yang meninggalkan puasa kerana haid dan nifas
Wanita yang kedatangan haid dan nifas wajib meninggalkan puasa. Jika ia sedang berpuasa, batallah puasanya dengan sendiri. Kemudian wajib ke atasnya menggantikan puasanya yang tertinggal kerana kedatangan haid dan nifas itu pada hari-hari lain di luar Ramadhan. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Kami diperintahkan (oleh Rasulullah) supaya menggantikan puasa, akan tetapi tidak diperintahkan menggantikan solat”. (Riwayat Imam Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi, telah menjadi ijmak bahawa wanita haidh dan nifas tidak wajib ke atas mereka solat dan juga puasa ketika mereka kedatangan haid dan nifas itu. Menjadi ijmak juga bahawa tidak wajib ke atas mereka menggantikan solat, akan tetapi wajib menggantikan puasa. Berkata ulama’; perbezaan antara keduanya ialah; solat itu banyak dan berulang-ulang (setiap hari), maka sukar untuk menggantikannya. Ia berbeza dengan puasa di mana ia diwajibkan sekali sahaja pada setiap tahun (yakni pada bulan Ramadhan), dan adakalanya haidh hanya datang sehari atau dua hari sahaja. (Rujuk; Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi, juz. 4, kitab al-Haidh)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar