Kamis, 19 Juli 2012

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (1)

 Intro

Puasa Ramadhan adalah wajib ke atas orang Islam yang mukallaf iaitu yang telah sampai umur dan beraqal sempurna. Oleh itu, tidak harus sewenang-wenangnya ia meninggalkan puasa atau sengaja berbuka puasa di siang hari di bulan Ramadhan. Orang yang sengaja tidak berpuasa atau sengaja berbuka puasa di bulan Ramadhan hukumnya berdosa besar. Adapun orang yang berbuka kerana suatu keuzuran tidaklah ia berdosa kerana dimaafkan oleh Syara’.

Puasa yang ditinggalkan wajib diganti

Puasa bulan ramadhan yang terbatal atau ditinggalkan sama ada dengan sengaja atau kerana keuzuran wajib dibayar atau diganti. Termasuk orang-orang yang wajib menggantikan puasa ialah;

1. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja
2. Wanita yang meninggalkan puasa kerana kedatangan haid dan nifas
3. Orang yang meninggalkan puasa kerana musafir
4. Orang yang meninggalkan puasa kerana sakit
5. Orang yang batal puasanya kerana pingsan sepanjang hari
6. Orang yang batal puasa kerana terlupa niat pada malamnya
7. Orang yang batal puasa kerana melakukan perbuatan-perbuatan yang membatalkan puasa dengan sengaja (seperti makan, minum, bersetubuh pada siang hari, mengeluarkan mani dan sebagainya)

Ibadat yang difardhukan Allah jika ditinggalkan ia tidak akan lupus begitu sahaja. Ia menjadi hutang kita dengan Allah yang akan terus terpikul atas bahu kita hinggalah kita membayarnya.

Secara amnya, ayat yang menjadi asas kepada kewajipan menggantikan puasa Ramadhan yang tertinggal sama ada dengan Qadha’ atau Fidyah ialah firman Allah (bermaksud);

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”. (al-Baqarah: 183-184)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar