Jumat, 20 April 2012

PUASA (PERSOALAN-3)

Adakah harus berkumur dan membasuh hidung ketika sedang puasa?

Harus tetapi jangan berlebihan kerana dibimbangi akan tertelan air. Sabda Nabi s.a.w.; “Lebihkanlah memasukkan air ke dalam hidung kecuali jika engkau berpuasa” (HR Imam Abu Daud dan Tirmizi dari Laqith ibn Shabirah r.a.).

Jika tertelan air kerana berlebih-lebihan berkumur atau membasuh hidung itu, batallah puasa. Jika seseorang itu berkumur secara sederhana sahaja –tanpa berlebihan- lalu ia tertelan air tanpa disengajaka, tidaklah batal puasanya.[1]

Apa hukum mandi dengan niat menyejukkan bahadan ketika sedang berpuasa?

Harus kerana diceritakan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w.; “Kami telah melihat Rasulullah s.a.w. ketika berada di satu kampong Arab bernama al-‘Araj, baginda mencurah air ke atas kepalanya ketika baginda sedang berpuasa untuk meredakan dari lapar atau dari kepanasan” (HR Imam Abu Daud dan al-Hakim).

Adakah harus memberus gigi ketika sedang berpuasa?

Harus kerana Nabi s.a.w. menggalakkannya pada setiap kali hendak mengambil wudhuk tanpa mengecualikannya pada bulan Ramadhan. Sabda baginda; “Seandainya aku tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersiwak pada setiap kali wudhuk” (HR Imam Malik, Ahmad, Nasai dari Abu Hurairah r.a.)

Namun hendaklah berhati-hati agar jangan tertelan ubat gigi atau sisa-sisa makanan di celah gigi tidak termasuk ke dalam kerongkong kerana ia akan membatalkan puasa.

Adakah harus bercelak ketika sedang berpuasa?

Harus kerana ‘Aisyah r.a. pernah menceritakan; “Rasulullah s.a.w. memakai celak dalam bulan Ramadhan ketika baginda sedang berpuasa” (HR Imam Ibnu Majah).

Begitu juga menurut ulama’; tidak membatalkan puasa menitikkan ubat ke dalam mata kerana mata bukanlah saluran yang terbuka (yang sampai ke rongga dalam badan yakni perut atau kepala).

Nota kaki;

[1] Begitu juga dengan wanita yang mengunyah makanan untuk anaknya lalu tertelan atau orang yang merasa makanan lalu tertelan; menurut mazhab Syafi’ie tidak membatalkan puasa kerana tidak disengajakan. Namun menurut mazhab Maliki dan Hanafi; batal puasa. (Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 440).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar