Jumat, 20 April 2012

PUASA (PERSOALAN-2)

Apa yang perlu dilakukan oleh seorang yang sedang menikmati makan atau sedang bersetubuh lalu ia terdengar azan yang menandakan fajar subuh telah terbit?

Hendaklah ia segera meluahkan makanan yang ada di dalam mulutnya sebelum masuk ke kerongkongnya.[1] Jika tidak diluahnya sebaliknya terus ditelannya makanan itu, maka batallah puasanya. Begitu juga, jika ketika fajar sedang terbit ia masih dalam keadaan bersetubuh dengan isterinya, maka wajib ia mencabut zakarnya dengan segera. Dengan mencabutnya itu tidaklah batal puasanya sekalipun sesudah itu keluar mani. Namun jika ia tidak mencabutnya –yakni tidak menghentikan persetubuhannya dengan segera-, maka batallah puasanya. Bukan sekadar itu, wajib pula atasnya membayar kaffarah (iaitu berpuasa dua bulan berturut-turut) mengikut jumhur ulamak (Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) kerana batal puasa itu berlaku dengan persetubuhan yang disengajakan. Mengikut mazhab Hanafi; ia wajib mengqadha puasa sahaja dan tidak wajib kaffarah.

Adakah batal puasa orang yang bersetubuh di malam hari, tetapi ia mandi junub selepas terbit fajar (yakni setelah masuk waktu subuh)?

Tidak membatalkan puasa kerana yang membatalkan puasa ialah jika berlaku persetubuhan itu selepas terbit fajar. Adapun mandi janabah selepas terbit fajar, maka tidak memberi kesan apa-apa pada puasa. Saidatinia ‘Aisyah r.a. dan Ummu Salamah r.a. pernah menceritakan bahawa; “Nabi s.a.w. pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jadi bagi orang yang bersetubuh dengan isterinya, harus melewatkan mandi junub sehingga selepas terbit fajar (masuk waktu subuh). Begitu juga, bagi wanita yang terputus haidnya pada sebelah malamnya, tidak batal puasanya jika ia menangguh mandinya hingga selepas terbit fajar. Namun demikian, menyegerakan mandi dalam semua keadaan ini adalah disunatkan.

Adakah mencium isteri di siang hari bulan Ramadhan membatalkan puasa?

Tidak membatalkan puasa. Rasulullah s.a.w. pernah mencium isterinya pada siang hari di bulan Ramadhan. Saidatina A’isyah menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menciumku sedang ia berpuasa. Siapa di antara kamu yang berupaya mengawal keinginan dirinya sebagaimana Rasulullah berupaya mengawalnya?”.
(Riwayat Imam Muslim)

Namun kata ulamak; keharusan itu khusus bagi orang yang mampu menahan syahwatnya. Adapun orang yang tidak mampu, haram ia mencium atau mengucup isterinya di siang hari di bulan Ramadhan kerana dibimbangi akan membawa kepada persetubuhan atau terkeluar mani yang akan membatalkan puasanya.

Nota kaki;

[1] Ini adalah pandangan jumhur ulamak. Ada ulamak berpandangan ia boleh terus makan jika makanan telah ada di tangannya. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; “Jika salah seorang dari kamu mendengar bunyi azan (subuh) sedang bekas air telah berada di tangannya, janganlah ia letak bekas hingga ia selesaikan keperluannya dari bekas itu (yakni hingga ia minum dari bekas itu)” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.). (Lihat; al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-‘Aziz, hlm. 202).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar